Thursday, December 31, 2015

SEJARAH KAMPUNG TELAGA AIR

Pada  akhir tahun  1978,  sejarah  bermula  dari  ketua  tiga  buah  kampong  persisiran  pantai  iaitu  Ketua  kaum  Sapuan  Oya  mewakili  Kampung  Trombol,  Encik  Mahli  bin  Sadam  mewakili  Kampung  Sibu  Laut  dan  Tuan  Hj.  Noh  bin  Hassim  mewakili  Kampung  Santin  dengan  mencetuskan  idea  untuk  meneroka  sebuah  kawasan  hutan  simpanan  kerajaan.  Mereka  berbincang  dan  membuat  keputusan  serta  nekad  untuk  membuka  sebuah  Kampung  Baru  di  kawasan  Matang  Air.

Tebingan Sungai Telaga Air

            Istilah  masyarakat  Matang  membawa  maksud  kawasan  hutan  tua  atau  tebal  yang  terletak  di  pinggir  sungai.  Kawasan  ini  jarang  disinggahi  oleh  manusia  kerana  ia  terkenal  dengan  mitos  yang  menyatakan  kawasan  tersebut  berhantu.  Tambahan  pula  lokasinya  memangku  kuala  di  antara  Kampung  Trombol  dan  Kampung  Sibu  Laut.  Lagipun  terdapat  banyak  kepercayaan  yang  dikatakan  oleh  orang  tua  dahulu  kala  yang  menyatakan  jika  sesiapa  memasuki  kawasan  tersebut  (  Matang  Air  )  berkemungkinan  besar tidak  akan  kembali  ke  rumah  sama  ada  hidup  atau  mati.  Warlah  -wa’alam.

            Pada tahun  1979, segala  rasa  ketakutan  dapat  diatasi  dengan  mengamalkan  petua  iaitu  apabila  hendak  memasuki  kawasan  tersebut  hendaklah  mencuci  muka  di  lopak  berhampiran  Banir  Kayu  Ara.  Lopak  tersebut  dikatakan  tidak  pernah  kering  walaupun  berlakunya  kemarau  panjang.  Akhirnya  lopak  tersebut  telah  menjadi  sebuah  perigi  untuk  kegunaan  harian  memasak  dan  minuman  dan  adakalanya  digunakan  untuk  tujuan  perubatan.  Kemudian bermulalah  penerokaan  kawasan  tersebut  dengan  berleluasa.  Pada  peringkat  awal  seramai  69  orang  yang  giat  menjalankan  penerokaan  dan  menubuhkan  sebuah  jawatankuasa  kampong  pada  5  November  1979.


         Pada  tanggal  19  April  1985  iaitu ketika  Tuan  Yang  Terutama  Negeri  Sarawak  membuat  lawatan  ke  Kampung  Matang  Air,  beliau  dengan  rasminya  menukarkan  nama  Kampung  Matang  Air  kepada  Kampung  Telaga  Air  sempena  sejarah  lopak  (  Telaga  )  yang  masih  kekal  sehingga  ke  hari  ini  sebagai  LOGO  Kampung  Telaga  Air.

            Pada  Ogos  1985  iaitu  ketika  Ketua  Menteri  Sarawak,  Datuk  Patinggi  Tan  Sri  Haji  Abdul  Taib  Bin  Mahmud  mengadakan  lawatan  rasmi  ke  Kampung  Telaga  Air,  beliau  dengan  rasminya  mengistiharkan  Kampung  Telaga  Air  sebagai  kampong  contoh  di  dalam  negeri  Sarawak  yang  pertama  kalinya.

          Oleh  kerana  keprihatinan  yang  ditunjukkan  oleh  Yang  Amat  Berhormat  Perdana  Menteri  serta  Yang  Amat  Berhormat  Ketua  Menteri  Sarawak  mengenai  misi  Program  Pembangunan  Hala  Cara  Kampung  Contoh  Kampung  Telaga  Air  maka  semua  Jabatan  kerajaan  telah  diarahkan  memberi  keutamaan  agar  program  tersebut  berjaya  dilaksanakan.

            Oleh  itu,  mesyuarat  pertama  “  Task  Force  “  telah  diadakan  pada  5hb Januari  1998  dan  mesyuarat  pertama  Rural  Growth  Centre  (R.G.C  )  yang  akan  diadakan  pada  28hb  Januari  1998  bertempat  di  Santin Holiday  Beach  Resort  telah  dihadiri  oleh  18  buah  agensi  kerajaan  yang  terlibat.

            Pada  tahun  1991,  atas  kesepakatan  antara  kerajaan  negeri  Sarawak  dan  kerajaan  pusat  dengan  rasminya  nama  kampung  Telaga  Air  bertukar  kepada  Pusat  Pertumbuhan  Desa  Telaga  Air 
(  PPD  Telaga  Air  )  dan  Ahli  Jawatankuasa  kampung  ditukarkan  sebagai  JKKK  PPD  Telaga  Air  dibawah  Pentadbiran  Pejabat  Rasiden  dan  Daerah  Bahagian  Kuching.


            Bagi  mendapatkan  maklumat  lengkap  berkenaan  pembangunan  serta  perkembangan  PPD  Telaga  Air  pada  masa  tersebut,  seorang  Pegawai  telah  dilantik  menjadi  perantaraan  di  antara  penduduk  PPD  Telaga  Air  dengan  pihak  kerajaan.  Pada  masa  yang  sama  juga,  JKKK  PPD  Telaga  Air  telah  mendapat  khidmat  sukarelawan  dari  Jepun  (  L.O.V.E  )  bernama  Encik  Yasukiro KAWAZOE.

Sumber : Profil Telaga Air

No comments:

Post a Comment